6M: Jalan Penyucian Jiwa

Ramadhan kembali membuka tirainya. Segala puji bagi Allah yang telah memberi kita nikmat dan peluang sekali lagi pada tahun ini untuk sama-sama meraih ganjaran pahala dan ruang penyucian jiwa. Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kamu bertakwa”

Berdasarkan ayat ini kita fahami matlamat akhir dari ibadah puasa ini adalah Taqwa. Memetik definisi Taqwa yang diungkapkan oleh Thalq bin Habib al-‘Anazi;

“Taqwa adalah mengamalkan ketaatan kepada Allah dengan cahaya Allah (dalil), mengharap ampunan Allah, meninggalkan maksiat dengan cahaya Allah (dalil), dan takut terhadap adzab Allah”.

Taqwa juga merujuk kepada penyucian jiwa seorang hamba. Penyucian jiwa daripada belenggu hawa nafsu dan dosa noda. Perlengkapan 30 hari untuk mengubah suatu tabiat sangat kondusif dalam bulan Ramadhan dalam perjalanan menuju Taqwa.

Menurut Imam al-Ghazali dalam kitabnya yang terkenal Ihya’ Ulumuddin, terdapat 6 langkah penyucian jiwa.

1. Musyaratah: menentukan keazaman dan matlamat yang ingin dicapai.
Mengambil analogi sebuah perjalanan menaiki kereta ke negeri Terengganu. Terengganu adalah destinasi akhir kita. Sepanjang perjalanan ke sana, jika anda daripada Shah Alam pasti akan melalui daerah Gombak dan juga negeri Pahang. Kita jelas disini destinasi terakhir kita adalah Terengganu jadi kita tidak akan terpesong atau tersasar dengan tarikan di Gombak atau Pahang kerana kita sedar dan maklum kedua-dua tempat ini hanyalah perhentian atau laluan sementara sahaja.

Begitulah pentingnya azam dan mempunyai matlamat akhir yang ingin dicapai. Apabila kita jelas tentang matlamat ini, insyaAllah kita akan sampai ke destinasi dalam keadaan selamat. Secara umum, matlamat akhir kita adalah mendapat keredhaan Allah dan akhirnya masuk ke dalam Syurga. Secara khusus, matlamat kita adalah mengubah apa-apa perkara atau sifat buruk sepanjang bulan Ramadhan ini.

2. Muraqabah: merasakan pemerhatian Allah terhadap dirinya.

Muraqabah adalah satu proses pengawasan. Mengambil contoh yang sama, dalam perjalanan menuju ke negeri Terengganu, kita perlu memastikan kita sampai pada destinasi akhir dengan membuat persiapan yang rapi dan teliti seperti memastikan kenderaan yang dinaiki dalam keadaan baik, mempunyai wang yang mencukupi bagi menampung perbelanjaan sepanjang perjalanan, merancang perjalanan supaya boleh tiba ke destinasi pada masa yang sepatutnya dan mengelakkan kesesakan lalu lintas. Kesemua ini kita lakukan bagi memastikan perjalanan yang lancar untuk tiba ke destinasi akhir.

Muraqabah juga bersifat begitu, kita meniti perjalanan menuju kepada Taqwa dengan mengambil sikap berhati-hati dan teliti. Muraqabah juga boleh didefinisikan sebagai Ihsan iaitu merasakan kita melihat Allah, atau jika tidak mampu cukuplah merasakan Allah melihat kita. Menurut Imam Ghazali, muraqabah terbahagi kepada tiga keadaan; ketika berbuat baik iaitu dengan menjaga keikhlasan dan kesempurnaan amalan. Muraqabah ketika berbuat maksiat dengan keinginan untuk bertaubat, menyesal dan malu. Muraqabah ketika ditimpa musibah dan ujian adalah untuk berusaha redha dan sabar dengan ujian yang melanda. Muraqabah adalah satu bentuk perlatihan untuk membuang sifat mazmumah.

3. Muhasabah: menilai dan menghitung diri.
Ini boleh diumpamakan seperti markah dalam peperiksaan. Adakala kita berjaya adakalanya kita gagal. Akan tetapi kegagalan bukan bermaksud berhenti tapi untuk terus berusaha melaksanakan yang terbaik pada percubaan seterusnya. Muhasabah ialah sebuah mekanisma untuk menjaga disiplin diri sendiri daripada dalaman tanpa perlu bantuan daripada agen luaran. Di dalam al-Quran surah al-Hasyr ayat 18 Allah menekankan akan peri pentingnya untuk kita sentiasa bemuhasabah diri kita;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُون

Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah. Sungguh, Allah Mahateliti terhadap apa yang kamu kerjakan.

Muhasabah terpecah kepada dua bahagian, sebelum sesuatu pekerjaan dan selepas sesuatu pekerjaan selesai. Muhasabah sebelum dilaksanakan sesuatu merujuk kepada meneliti dan menilai kewajaran sesuatu perbuatan yang akan dilakukan tanpa sifat gelojoh atau tergesa-gesa manakala muhasabah selepas melaksanakan perbuatan merujuk kepada penilaian samaada betul dan tepat perbuatan tersebut menurut landasan syariat.

4. Muaqobah: menghukum diri atas kekurangan amal kebaikan
Umar al-Khattab menghukum diri dengan menghadiahkan sebidang tanah bernilai 200 ribu dirham kerana terlepas daripada solat Asar berjemaah.
Muaqobah adalah satu mekanisma bagi membantu seseorang konsisten dalam ketaatan dan juga merupakan inisiatif individu untuk bertegas dengan nafsu. Ironinya manusia cenderung untuk menghukum orang lain apabila berbuat salah tetapi tidak menghukum dirinya sendiri apabila berbuat perkara yang sama.

5. Mujahadah: usaha bersungguh-sungguh
Mujahadah penting apabila terbit rasa malas untuk mencapai matlamat akhir, mujahadah adalah proses melawan hawa nafsu daripada menguasai diri dan berbuat sesuatu demi menepis godaan nafsu. Sahabat Rasulullah, Abu Darda’ berusaha bangun Tahajjud setiap malam dan bercakap hanya perkara kebaikan.

Sebagai contoh azam kita di bulan Ramadhan untuk khatam al-Quran sekurang-kurangnya sekali, bermakna dalam 30 hari kita perlu membaca 1 juzu’ al-Quran. Dalam 1 juzu’ terdapat 20 mukasurat, jadi kita boleh membahagikan setiap kali waktu solat kita baca lima mukasurat al-Quran. Jika tidak boleh cara ini, cara lain adalah dengan memuat turun aplikasi al-Quran dalam telefon pintar kita, setiap kali kita rasa hendak bercakap perkara yang tidak elok kita baca al-Quran atau setiap kali kita buka telefon wajibkan diri untuk membaca beberapa mukasurat ayat al-Quran terlebih dahulu. Mujahadah memang tidak mudah tetapi jika kita berjaya melepasinya, pasti terasa manis dihujungnya.

6. Muatabah: mencela nafsu lawwamah dalam diri
Muatabah adalah satu proses menyedarkan diri akan sifat dunia yang sementara. Muatabah boleh dilakukan melalui monolog dalaman dan proses taubat dengan rasa penyesalan atas dosa dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

Analoginya seperti sebuah gelas yang berisi susu basi, susu itu sudah tidak boleh diminum. Kita perlu membuang terlebih dahulu susu basi tersebut, mencuci gelas tersebut seterusnya digantikan dengan susu yang segar untuk diminum begitu juga hati kita. Segala karat jahiliah dan sifat mazmumah perlu dikikis terlebih dahulu untuk memberi ruang kepada pembentukan akhlaq mahmudah.

Lengkap sudah keenam-enam jalan penyucian jiwa seperti yang digariskan oleh Imam al-Ghazali. Langkah-langkah ini sebagai panduan dan pedoman buat mereka yang sudah menyerahkan dirinya untuk ditarbiah dan dibentuk melalui proses Taqwa dalam madrasah Ramadhan yang hanya datang setahun sekali. Walaubagaimanapun, langkah-langkah ini boleh juga dipraktikkan di luar bulan Ramadhan kerana ianya fleksibel dan dinamik. Keistimewaan Ramadhan pada penyekatan hawa nafsu dengan berpuasa, syaitan yang dibelenggu dan bi’ah (suasana) mengharap keredhaan Allah yang telah tersedia bagi seluruh umat Islam di seantero dunia. Hanya tinggal kita mahu keluar daripada Ramadhan dalam keadaan kembali kepada fitrah yang suci dan bersih atau masih mahu tepalit dek noda dunia yang fana ini.

Rujukan: Proses Murabatah al-Nafs Menurut Perspektif al-Ghazali bagi membangunkan Individu Seimbang dan Holistik. (Fathiyah Mohd Fakhruddin & Asmawati Suhid) –Disember 2016

Ditulis oleh:
Rayyan binti Mohd Zain
Jawankuasa Pengurusan Organisasi
PEMBINA Cawangan Shah Alam

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *