Ambil Iktibar daripada Perang Ain Jalut

SHAH ALAM, 17 Ramadhan 1439H, Sabtu – ISMA Shah Alam telah berjaya mengadakan satu program berbentuk Rehlah Masyi bersempena memperingati kisah Perang Ain Jalut yang berlaku pada 25 Ramadhan tahun 658 H di Ain Jalut dan Bisan, Palestin.

Para peserta mula berjalan seawal jam 8 pagi dari sebuah surau sebagai checkpoint permulaan menuju ke surau berikutnya dan tamat setelah pulang semula ke checkpoint pertama. Perjalanan dianggarkan sekitar 7 km bagi menguji daya ketahanan fizikal para peserta di bulan Ramadhan. Peserta dibekalkan tugasan untuk menghafal beberapa potong ayat suci Al-Quran daripada surah Al-Baqarah.

Di checkpoint berikutnya, para peserta berehat sebentar sambil menikmati pengisian tazkirah daripada Ustaz Wan Ahmad Izzat berkenaan perang Ain Jalut.

Ia adalah peperangan menundukkan tentera Tatar dalam siri serangan Tatar ke atas bumi Islam. Panglima yang berjaya mengembalikan kemuliaan umat ini adalah Saifudin Qutuz, juga merupakan pemerintah kerajaan Mesir pada ketika itu. Manakala tentera musuh dipimpin oleh Kitbuga, pahlawan Holago yang terbaik. Holago adalah pahlawan Tatar yang mabukkan darah manusia dan dianggap sebagai jelmaan Genghis Khan.

Pelbagai strategi bijak digunakan Qutuz bagi menghadapi perang ini, bermula 10 bulan sebelum hari peperangan lagi. Antaranya adalah; mengembalikan kestabilan keadaan dalaman Mesir, memberikan pengampunan kepada semua penyokong Mamalik Bahriah dan mengusahakan penyatuan semula antara Mesir dan Syam. Diceritakan juga masalah kewangan Mesir untuk belanjawan perang dan fatwa al-Izz bin Abdis Salam (Izzuddin Abdis Salam). Kemuncak peperangan ini adalah pada 25 Ramadhan.

Qutuz memberikan arahan agar tentera Islam keluar menzahirkan diri secara berperingkat, satu katibah demi satu katibah. Tentera Mamalik terpecah kepada banyak katibah. Setiap katibah akan memakai warna tertentu yang membezakannya dengan katibah lain. Kuda mereka akan dihias dengan warna yang sama. Begitu dengan senjata, khemah dan bahkan rumah-rumah mereka di Mesir. Semuanya akan diwarnakan dengan warna katibah masing-masing.

Semua katibah ini adalah sebahagian tentera Islam yang dipimpin oleh Baibras. Baki tentera yang masih lagi ramai menyembunyikan diri bersama Qutuz, menanti waktu sesuai untuk masuk ke serangan kedua. Setelah tentera Tatar berjaya dikepung, Qutuz turun ke medan perang dengan menunggang kudanya, mencampakkan topi besinya lalu melaungkan ‘wa Islaaamah’. Langkah ini diambil oleh Qutuz untuk menaikkan semangat tentera Islam. Tentera Tatar terperanjat dengan kehadiran Qutuz di tengah-tengah medan perang. Qutuz memerangi mereka dengan penuh semangat seolah-olah beliau tidak langsung sayangkan nyawanya.

Ketika pembesar istana meluahkan kebimbangan akan tindakan Qutuz, beliau menjawab : “Sesungguhnya diriku, ia sedang menuju syurga. Ada pun Islam, ia mempunyai Tuhan yang tidak akan membiarkannya.” Tentera Islam bertambah semangat dengan turunnya Qutuz ke medan perang.

Setelah kematian Kitbuga & pertembungan akhir yang sengit di Bisan, akhirnya kemenangan berpihak kepada tentera Islam. Mereka berjaya menamatkan mitos bahawa Tatar tidak akan dikalahkan sehingga bila-bila. Kesemua tentera Tatar mati dibunuh oleh tentera Islam di dalam peperangan ini.

Selesai sesi santapan rohani, para peserta ditasmik bacaan ayat Al-Quran secara berjemaah. Semua peserta pulang berjalan kaki ke tapak permulaan rehlah setelah selesai ditasmik hafazan. Rehlah Masyi ini merupakan aktiviti tahunan ISMA Shah Alam sempena mengingati sirah dan pelbagai peristiwa silam yang berlaku kepada para anbiya’, sahabat Nabi, para tabi’ dan tabi’in serta seluruh muslimin di dalam bulan Ramadhan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *