Bukit Kuching FC cemerlang, KB Isma Shah Alam malang

SHAH ALAM, 16 JAMADILAKHIR 1439H, Ahad – Bukit Kuching FC kekal sebagai pendahulu kumpulan A Liga Komuniti Isma setelah mudah membenam Pakcik Otai FC 6-0 di Padang Awam Seksyen 8 tatkala dua lagi pencabar Selsdeaf dan Puchong Fuerza sekadar mencatat keputusan seri dengan lawan masing-masing iaitu SS Shah Alam dan C17FC dalam pusingan kedua liga.

Kemenangan besar tersebut membolehkan Bukit Kuching FC memungut enam mata maksimum tanpa sebarang bolos dengan jumlah jaringan terbesar setakat ini.

Nasib walaubagaimanapun tidak menyebelahi pasukan tuan rumah, KB Isma Shah Alam yang tewas kepada pasukan RGSFC setelah sekadar mencatat keputusan seri pada perlawanan minggu lepas dengan Palitus FC.

Kekalahan tersebut menyebabkan KB Isma Shah Alam jatuh ke tangga sembilan liga setelah sekadar mengumpul satu mata selepas dua perlawanan.

Pengurus pasukan KB Isma Shah Alam, Afiq Abdul Jamil menjelaskan ketiadaan tiga orang penyerang utama menyebabkan pasukan buntu mencetak jaringan pada perlawanan tersebut.

Keputusan lain dalam kumpulan B melibatkan Alfalah FC TSM yang menewaskan pasukan bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Palitus FC dengan jaringan 1-0.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *