Janji Allah Untuk Mereka Yang Sabar

Belum sampai seminggu sekembalinya aku ke kampus yang dikasihi, bermacam-macam kisah didengari antara sesama sahabat seperjuangan. Ada yang pointer bawah 3, ada yang dismissed walaupun sudah tahun akhir, ada yang baru kehilangan mak yang dikasihi, dan sebagainya. Walaupun hanya sebulan terpisah asbab daripada cuti semester, tapi dalam masa sebulan tersebut pelbagai kisah suka duka yang dilontarkan. Syukur ke hadrat Ilahi kerana sepanjang cuti ku sendiri diisi dengan nikmat dan kekangan yang dihadapi tidaklah terlalu mendalam sehingga mengganggu permulaan semesterku.

Tiada benda lain yang boleh aku beritahu kepada sahabat-sahabatku yang terkena musibah selain daripada bersabar. Oleh kerana dunia ini adalah lapangan ujian demi menguji siapakah di antara kita yang benar-benar layak untuk bergelar ahli syurga yang sabar dan redha tika bergelar musafir dunia.

Hayati kembali kisah sejarah Rasulullah. Sebelum hijrah pertama umat Islam, penindasan dan penyiksaan daripada kafir quraisy semakin memuncak. Walaupun ancaman kendur dan tenang pada awalnya, namun hari demi hari penindasan semakin dirasa. Sehingga ada para sahabat yang jatuh gila, menjadi buta, melecur kulit dan sebagainya. Suasana melampau menyebabkan mereka hilang arah memikirkan nasib untuk bebas dari azab sengsara yang semakin mengganas.

Di dalam kepekatan dan saat yang gelap gelita tersebut, Allah turunkan dua Surah sebagai jawapan yang padanya tersirat makna dan erti yang amat mendalam, bertepatan untuk bertindak sebagai ‘ubat’ kepada keadaan umat Islam yang sangat gundah ketika itu. Dua surah tersebut ialah surah Al-Kahfi dan surah Az-Zumar.

Dalam surah Al-Kahfi terselit kisah Iskandar Zulkarnain yang memberi makna bahawa bumi ini akan diserahkan kepada hamba-hambaNya yang dikehendakiNya. Kejayaan itu akan membuka jalannya kepada keimanan dengan Allah dan bukan kekufuran terhadapNya.

Sesungguhnya Allah SWT masih tetap mengutus hambaNya yang bertugas dari semasa ke semasa untuk menyelamat golongan dhaif dari penindasan Yakjuj Makjuj. Maka yakinlah, bahawa orang yang berusaha itu akan dikurniakan Allah hak nikmat di bumi ini.

Kisah Ashabul Kahfi pula menunjukkan dan membuka jalan kepada tindakan hijrah dari daerah penguasaan kafir dan musuh Islam ke suatu pengkalan yang lain dengan harapan kawasan itu membolehkan seorang muslim mempertahankan agama keagungannya, tetapi penuh bertawakkal kepada Allah. Maka janji Allah kepada mereka yang telah berusaha bersungguh-sungguh, dengan kaedah dan usaha yang bertepatan dengan syarak, maka hasilnya suatu hari nanti akan diberkati.

Seterusnya, kisah Nabi Khidhir dan Nabi Musa (as) menafsirkan bahawa suasana yang berlaku itu tidak berlaku pada zahirnya. Malah boleh jadi takdir Allah untuk kita bercanggah dengan apa yang zahirnya. Isyarat yang penuh seni diberi oleh Allah bahawa duka yang zahir kepada pihak Islam pada awal ini akan terbalik hasilnya nanti di mana pihak musyrikin yang taghut itu akan kalah terhadap kaum muslimin.

Setelah itu disusuli dengan penurunan Surah Az-Zumar, yang menyimpulkan kepada tindakan hijrah, di samping menerangkan janji Allah kepada umat Islam ketika itu;

“Katakanlah, wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertakwalah kepada Tuhan kamu. Orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan. Dan bumi Allah ini luas. Sesungguhnya orang yang bersabarlah yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.” (Az-Zumar: 10).

Ujian akan sentiasa berlaku kepada sesiapa yang bergelar muslim. Tapi suka aku ingatkan juga kembali bahawa nikmat juga akan sentiasa diberi oleh Allah kepada hamba dipilihNya. Kepada pembaca khususnya para mahasiswa yang disayangi, ujian harus diurus dan diatasi, bukan terus-terusan berduka dan meratapinya. Hadapilah ujian dengan sabar dan redha. Jika berasa lemah dan berputus asa, mengadulah pada Allah bukannya kepada media sosial yang langsung tiada memberi faedah dalam luahan seharian.

Moga Allah merahmati.

Oleh,
Saiful Azhar Bin Masri
JK Aktivisma PEMBINA Shah Alam

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *