KBIS terpaksa kerja keras sebelum menang 2-1

KEPONG, 4 Jamadilawal 1439H, Ahad – Kelab Bola Sepak Isma Selangor (KBIS) terpaksa bekerja keras sehingga ke minit-minit akhir perlawanan sebelum mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas pasukan lawan, Desa FC dalam aksi ketujuh Liga Perdana Sosial Selangor (SSPL), semalam.

Kapten pasukan, Syaiful Amirul Sangsuri menjadi penyelamat kepada skuad berkenaan, yang juga juara Piala Presiden Isma 2016, apabila menjaringkan gol pada minit ke 17 dan 35, separuh masa pertama perlawanan.

KBIS terpaksa berhempas pulas pada awal perlawanan selepas Desa FC mempamerkan aksi terbaik dengan kelebihan fizikal pemainnya, untuk mengawal asakan skuad yang diketuai Muhammad Rafsham Iqmal Alyas.

Pemain tengah KBIS, Muhammad Zul Adib Mohamad Azlin berkata, skuad itu gagal memanfaatkan peluang terbaik ekoran kelemahan di bahagian serangan, dan terpaksa mempertaruhkan bahagian pertahanan tengah sebagai penyerang tunggal dalam aksi tersebut.

“Kami bermain dan bekerjasama dengan baik dan berjaya membawa pulang kemenangan. Hari ini (semalam) mencari kemenangan dalam apa jua keadaan dan berjaya melakukannya.

“Kami memberikan segala-galanya dan membuktikan KB Isma Selangor tidak pernah putus asa,” katanya yang turut mengalami kecederaan di penghujung perlawanan.

Menurut pengurus pasukan KBIS, Mohd Hazwan Ab Halim, skuad yang berdepan masalah kekurangan penyerang dalam tiga perlawanan terdahulu, melonjak ke tangga kedua apabila pasukan Muatiara Gombak tidak beraksi dalam perlawanan di padang Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), semalam.

“Perlawanan seterusnya pada hari Ahad depan, saya harap pemain utama akan bersedia dan kami dapat menggunakan mereka menentang pasukan Atletico Madrid.

“KBIS menunjukkan peningkatan dalam persembahan mereka sejak pintu perpindahan pemain dan terima kasih kepada semua pemain yang menjalankan peranan dengan baik mengikut percaturan jurulatih pasukan,” katanya.

Sumber : Ismaweb | KBIS terpaksa kerja keras sebelum menang 2-1

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *