Salam Ramadhan dari Pengerusi PEMBINA Shah Alam

Assalamualaikum w.b.t

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam kerana masih memberikan kita peluang untuk sampai ke bulan Ramadhan yang di dalamnya dicurahkan segala isi kebaikan dan punca kepada pahala yang sangat banyak. Selawat dan salam kepada junjungan besar Baginda S.A.W serta para sahabat r.a.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda : Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kerana iman dan ketaatan kepada Allah, serta mengharapkan keredhaannya, akan diampunkan semua dosanya yang telah lepas.
(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam kesempatan ini, PEMBINA Shah Alam ingin mengajak semua belia, bersama-sama untuk menambahkan keimanan kita dengan bersungguh-sungguh, memperbanyakkan amalan soleh seperti bacaan al-Quran, bersedekah dan membantu orang yang tidak mampu.

Dalam kegembiraan kita untuk menyambut bulan Ramadhan ini, harus kita insafi bahawa terlalu banyak gerakan yang cuba mencabut pegangan Islam yang tulen dengan kefahaman liberalisme, LGBTQ dan pelbagai lagi daripada hati anak muda. Tanpa ada satu kelompok yang berpesan-pesan dengan kebenaran, pastinya akan mengundang kemurkaan Allah s.w.t.

“Barang siapa yang menunjukkan kepada suatu kebaikan, maka baginya pahala seperti orang yang melaksanakannya”
(Hadith Riwayat Muslim)

Di PEMBINA, kami berusaha sedaya upaya membawa kembali belia mengikut jalan yang perintahkan oleh Allah dan RasulNya melalui pelbagai program yang menarik. Dengan visi dan misi kami yang jelas, kami mensasarkan pembinaan jati diri serta keyakinan diri belia yang utuh yang bukan sahaja untuk persediaan akhirat tapi berguna untuk dunia. Kami mengajak seluruh belia untuk turut serta bersama kami untuk merasai sendiri keindahan bulan Ramadhan dengan pengisian yang mantap dan membina serta InsyaAllah memberi impak yang sangat tinggi kepada pembangunan modal insan para belia.

Semoga tahun ini menjadi Titik Perubahan kepada penghuni madrasah tarbiah Ramadhan dan menjadikan kita berubah menjadi yang lebih baik.

Membangun Rijal, Menggalas Kepimpinan.

Mohd Khairil bin Alias
Pengerusi Cawangan
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)
Cawangan Shah Alam

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *