Sumbangan Iftar bersama Masjid Al-Ikhlas

SHAH ALAM, 22 RAMADHAN 1439H – Terdapat banyak dalil yang menunjukkan kelebihan menjamu mereka yang berpuasa. Justeru, amat wajar bagi yang berkelapangan rezeki serta harta menjamu mereka yang berpuasa. Antara nas galakannya ialah:

Daripada Zaid bin Khalid, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

مَن فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِن أَجْرِ الصَّائِمِ شَيئًا

Maksudnya: “Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikitpun kurang pahala orang berpuasa.”
(Riwayat Ahmad, al-Tarmizi dan al-Baihaqi)

Pihak Masjid Al-Ikhlas Seksyen 13 dengan kerjasama Isma Shah Alam telah menganjurkan edaran makanan berbuka puasa di kawasan tumpuan orang ramai di sekitar Shah Alam.

Sebanyak 500 bungkus makanan berupa bubur lambuk, roti, kurma dan air minuman diagihkan kepada orang ramai bagi berbuka puasa mulai jam 6 petang di sekitar kawasan masjid, hentian bas, bazaar, dataran Shah Alam dan lain-lain tempat.

Program ini dianjurkan dengan sumbangan daripada para jemaah dan ahli Masjid Al-Ikhlas Seksyen 13 bagi berkongsi kegembiraan berbuka puasa dan menggalakkan sifat saling berkongsi dan memberi sesama kita. Semoga kita sentiasa menjadi hamba Allah yang suka menjamu mereka yang berpuasa dan tidak lokek bersedekah kepada sesiapa sahaja, terutamanya kepada mereka yang lebih memerlukan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *