Anda layak, anda hebat!

Antara perkara yang seringkali menghantui diri seseorang ialah rasa tak layak atau dengan kata lain merendah diri. Jika perasaan ini datang tidak bertempat, maka ia adalah merupakan suatu sikap negatif yang perlu dibuang jauh-jauh.

Contohnya seperti rasa tak layak untuk buat dakwah, tak layak untuk mengajak orang untuk berbuat kebaikan, tak layak nak bercakap tentang agama walhal sudah meyakini bahawa amar makruf nahi mungkar itu adalah merupakan suatu kewajipan bagi setiap diri yang beriman.

Rasa tak layak ini sebenarnya adalah mainan syaitan yang sedang menghalang kita daripada mengumpul pahala dengan beramal. Dengan rasa tak layak, maka kita tak buat. Malah lebih teruk lagi mungkin sampai datang suatu perasaan ingin meninggalkan organisasi yang sememangnya menjadikan dakwah dan tarbiah itu sebagai kerja asas. Rasa diri terlalu banyak dosa sehingga tak layak untuk duduk bersama dengan golongan yang baik-baik kononnya.

Dosa adalah suatu perkara yang tidak ada orang pernah terlepas dari melakukannya. Jika pernah bergelumang dengan dosa sekali pun, bertaubatlah. Allah suka akan hamba-hambaNya yang bertaubat. Jangan jadikan alasan diri terlalu banyak dosa untuk kita tinggalkan tugas asasi ini. Yang perlu ditinggalkan adalah dosa, bukan dakwah itu sendiri.

Andai kita tidak bersama dengan orang-orang yang ingin menyeru manusia ke arah kebaikan, ke mana lagi ingin kita pergi? Di mana lagi medan untuk kita mengutip saham pahala untuk dibawa ke negeri akhirat nanti? Adakah kita dapat menjamin diri kita akan dapat mengumpul pahala dengan sendiri-sendiri tanpa bersama-sama dengan golongan yang baik ini?

Sungguh syaitan itu amat licik. Yang ia inginkan adalah kita berputus asa dengan rahmat Allah dan berputus asa dengan diri sendiri lalu merasakan kita sudah tidak layak untuk berbuat apa-apa kebaikan lagi.

Berusahalah untuk perbaiki diri, tambah ilmu serta belajar seni-seni kemahiran yang perlu agar dapat akhirnya kita dapat buang rasa tak layak itu. Jangan dilayankan sangat perasaan rasa rendah diri tak bertempat dan tak layak itu kerana boleh jadi ia adalah mainan syaitan semata-mata agar kita rasa berputus asa lalu meninggalkan kewajipan sebagai seorang yang beriman. Kalaupun kita tidak mampu melakukannya sehebat orang lain, buatlah apa yang termampu. Jangan sampai kita tinggalkan semuanya terus.

Akhir sekali, perbanyakkan berdoa semoga Allah sentiasa memelihara perjalanan hidup kita di dunia ini serta memberi kekuatan agar dapat kita laksanakan segala suruhan-Nya dengan sebaik mungkin hingga akhir nanti kita dapat melangkah kaki masuk ke syurga-Nya yang abadi.

Nurul Akmar Ramli
Aktivis ISMA Shah Alam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *