Ayah dan anak lelaki dalam Al Quran

Kisah ayah dan anak lelaki dalam Al Quran ini berada dalam banyak surah, bahkan ada satu surah yang diberi nama khusus sempena seorang ayah yang menasihati anaknya dengan nasihat-nasihat membangun iman.

Bukan menafikan peranan ibu, tapi menunjukkan betapa besarnya peranan ayah dalam mendidik anak-anak, tidak kira anak lelaki atau perempuan.

Ketika satu keluarga telah lama mendambakan seorang anak yang akan menjadi pewaris perjuangan dakwah, doa seorang ayah (Nabi Zakaria) yang tidak jemu berdoa walaupun usianya telah sampai ke waktu senja dirakamkan dengan cukup indah dalam permulaan surah Maryam.

Saat Yusuf bermimpi, orang yang dicarinya untuk menceritakan mimpinya adalah ayahnya (Nabi Yaakub). Bagaimana Nabi Yaakub berinteraksi dengan anaknya yang masih belum matang berkenaan mimpi itu cukup indah dan istimewa. (Yusuf: 4-7)

Kisah Nabi Ibrahim dan anaknya dalam surah Baqarah bermula ayat 127 – 134 juga mengandungi banyak pengajaran buat ayah yang inginkan kebaikan buat anak-anaknya hingga hari pembalasan.

Bahkan, doa agar anak-anak termasuk dalam kalangan mereka yang mendirikan solat juga adalah dari seorang ayah (Ibrahim: 40)

Teladan dari sifat keayahan penuh taqwa Nabi Ibrahim ini turun kepada anaknya, Ismail, yang turut dipuji oleh Allah sifat keayahannya yang penuh keimanan dalam surah Maryam: 54.

Surah Luqman adalah bukti besarnya peranan ayah dalam pendidika anak-anak, terutamanya yang berkaitan dengan pendidikan iman.

Bermula ayat 13 – 19, sarat dengan pesanan-pesanan besar seorang ayah buat anaknya yang dijadikan panduan buat umat akhir zaman.

Nabi Saw juga berpesan agar menyayangi anak-anak, mencium mereka dan mendidik mereka tanpa jemu untuk mendirikan solat.

Bahkan dalam banyak kajian-kajian akademik, menunjukkan anak-anak yang kehilangan kasih sayang ayah sepanjang hidupnya, akan ada kesan-kesan negatif terhadap kehidupannya.

Buat ayah-ayah, termasuklah diri saya sendiri terutamanya, meluangkan masa untuk anak-anak dalam membangunkan iman mereka bukanlah satu kerugian, tapi ia adalah amal soleh yang akan kekal hingga hari Kiamat.

Dr Hisham Sharif
Aktivis Isma Kubang Pasu

Sumber: FB Hisham Sharif

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *