Bagaimana Ayah Boleh Mewujudkan Syurga Dalam Rumahtangga

Pertama, selesaikan tanggungjawab nafkah yang asas. Tempat tinggal, makan, pakai dan perkara-perkara asas untuk isteri dan anak-anak. Walaupun masih kurang sempurna pada awalnya, tapi berusahalah agar nafkah dapat dilengkapkan sebaiknya.

Pemberian sedekah yang paling baik adalah buat ahli keluarga, dan usaha yang terbaik, adalah usaha seorang ayah yang bekerja buat melunaskan nafkah ahli keluarganya.

Selesai nafkah, ahli keluarga akan lebih mudah untuk menghormati ayah sebagai ketua keluarga, dan keluarga akan lebih harmoni.

Isteri boleh membantu, tapi yang asas mesti datang dari ayah. Keberkatan berganda buat ayah yang sentiasa berusaha.

Banyak rumah tangga yang porak peranda, bercerai berai kerana banyak masalah dalam isu nafkah, hingga terpaksa melibatkan campurtangan pihak ketiga.

Selesai nafkah sebagai tanggungjawab yang utama, kedua adalah pendidikan, terutamanya pendidikan agama.

Didik anak tentang akidah, tentang hakikat Allah sebagai pencipta segala, dan hakikat dia yang maha mengawasi.

Didik anak berkenaan solat, tanpa jemu hingga anak menjadikan solat sebagai perkara paling penting dalam hidup.

Pesan kepada anak berulang kali, kejut Subuh setiap hari sehingga anak boleh bangun sendiri, bawa anak ke paip air dan tunjukkan jalan untuk berwudhuk, sesekali, uji anak berkenaan hal ehwal perkara dalam solat walaupun anak telah belajar di tadika atau kelas Kafa.

Tengok anak solat, bawa anak-anak lelaki ke masjid dan didik berkenaan dengan adab.

Jangan sampai anak masuk ke usia baligh, tapi masih cacat ilmu dan perlaksanannnya tentang solat. Berat nanti soal untuk ayah di akhirat.

Begitu juga dengan ibadah-ibadah yang lain, namun solat ini mesti diperhatikan seteliti mungkin.

Paling utama, ayahnya dulu mesti menunjukkan contoh agar tidak seperti ketam yang mengajar anak berjalan lurus.

Allahuakbar! Terasa.

Dalam ketegasan mendidik anak, jangan lupa perkara ketiga, iaitu kasih sayang yang dizahirkan hingga anak rasa disayangi.

Sentiasa peluk dan beri pujian yang positif kepada anak. Jika perlu rotan dan ketegasan, jelaskan kesalahan apabila rotan atau tangan diperlukan.

Dengan anak-anak yang masih kecil, bermain dan bergelak ketawalah dengan mereka, anak-anak pada usia ini tidak faham keletihan, kesibukan dan masalah-masalah yang kita hadapi, sedaya upaya kita layan anak-anak bermain walau sebentar, agar ada memori indah bersama yang akan dikenang nanti.

Nafkah, pendidikan dan kasih sayang adalah kunci dalam mewujudkan syurga dalam rumahtangga.

Moga bermanfaat dan sebagai nasihat untuk diriku yang sering lupa.

Dr Hisham Sharif
Aktivis Isma Kubang Pasu

Sumber: FB Hisham Sharif

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *