Halawatul Iman

Alhamdulillah, kita masih dipilih oleh Allah untuk bertemu Ramadhan Mubarak 1438H. Belia dan beliawanis pasti telah meletakkan ‘target’ atau ‘goal’ untuk Ramadhan kali ini. Sudah pasti kita mahu jadikan Ramadhan kali ini lebih baik dari tahun-tahun yang lepas. Walaupun ada belia dan beliawanis di IPT yang sedang menghadapi peperiksaan, namun ia bukan penghalang untuk memperbanyakkan ibadah di bulan pesta ibadah ini, malah ia akan menjadi perangsang untuk lebih berjaya dalam akademik.

Bulan Ramadhan terkenal dengan bulan bertadarus dan mengkhatam bacaan Al-Quran. Subhanallah, masing-masing berlumba-lumba untuk membaca Kitab Allah ini. Malah, ia menjadi kebiasaan masyarakat membaca Al-Quran di mana sahaja. Alangkah indahnya jika budaya ini dapat diteruskan dalam bulan-bulan yang lain.

Dalam 10 wasiat Imam Al Syahid Hassan Al Banna ada dikhususkan berkaitan Kitab Allah ini, “Bacalah Al-Quran, lakukan pengkajian, dengarlah pengajian dan berzikirlah”. Dalam wasiat ini ditekankan betapa pentingnya kita menjalinkan hubungan dengan Al-Quran yang merupakan petunjuk umat Islam.

Jika disenaraikan keistimewaan Al-Quran ini, banyak sekali. Antara keistimewaan yang ada pada Al-Quran ialah dapat menjadi syafaatdi akhirat kelak. Rasulullah saw bersabda: “Bacalah Al-Quran kerana Al-Quran pada hari kiamat akan datang memberi syafaat (pertolongan) kepada orang yang membacanya” (HR Muslim)

Selain itu, pahala membaca Al-Quran dalam bulan Ramadhan dilipat gandakan. “Sesungguhnya Allah mencatat setiap amal kebaikan dan amal keburukan.” Rasulullah SAW menjelaskan, “Orang yang meniatkan sebuah kebaikan, namun tidak mengamalkannya, Allah mencatat baginya satu pahala kebaikan sempurna. Orang yang meniatkan sebuah kebaikan lalu mengamalkannya, Allah mencatat pahala baginya 10 sampai 700 kali ganda banyaknya.” (HR Muslim)

Ayuh belia dan beliawanis gunakan nikmat muda kita untuk menjalinkan hubungan dengan kitab Allah ini kerana inilah kunci halawatul iman (kemanisan iman). Jadilah pemuda yang hidupnya berpandukan Al-Quran. Sertai program-program yang dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) sepanjang Ramadhan di IPT dan masjid-masjid.

Hidayah Abd Halim
JKC PEMBINA Shah Alam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *