Lebih 250 orang muslimah imarahkan Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran

Shah Alam, 25 Mei 2019 -“Tahniah dan syabas di atas penganjuran majlis ini dan kami dari Jais akan sentiasa berusaha memberikan kerjasama yang terbaik untuk semua NGO yang menganjurkan program seumpama ini”, jelas Ustazah Sabariah bt Salleh, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah , Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Tambahan lagi dalam ucapan perasmian beliau turut menyatakan, “Wanita begitu mudah memperoleh pahala apatah lagi dalam madrasah Ramadan, maka rebutlah peluang yang diberikan pada kita seperti program bertadarus ini”.

Menurut pengarah program, Ustazah Dewi Farah Ruhaida Kamaruddin majlis ini diadakan serentak oleh semua cawangan wanita isma. “Alhamdulillah program ini telah mendapat penyertaan yang sangat memberangsangkan iaitu sekitar 7000 orang peserta di seluruh negara,” ujarnya.

Bagi Puan Salasiah Yusuf dari Persatuan Ibu Tunggal Selangor, “Ini program yang terbaik yang dilakukan dalam bulan Ramadan. Saya suka program seperti ini bukan sahaja dapat memperbetulkan bacaan tetapi dapat juga mengeratkan ukhwah”.

Majlis tadarus ini ditambah seri lagi dengan perkongsian mengenai cara menghafal Al-Quran daripada Ustazah Zainab Husna bt Husen, aktivis Isma yang juga seorang hafizah serta persembahan pidato dari adik Balqis Arrumaisok bt Mohd Rusdi.

“Buat para remaja, isilah zaman muda ini dengan nikmat penghafalan dan buat para ibu jangan mudah berputus asa untuk menghafal, manjakan diri dengan amalan soleh seperti membaca al-quran,” ujar Ustazah Zainab Husna.

Program Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran ini telah diadakan di Masjid Jamek Raja Tun Uda , Seksyen 16 Shah Alam anjuran Wanita Isma Shah Alam dengan kerjasama JAIS telah di hadiri oleh para muslimat di sekitar Shah Alam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *