Ibadah Korban Memupuk Kesatuan Umat

Islam adalah agama kemanusiaan dan mementingkan kesatuan. Antara bukti yang membenarkan kenyataan ini adalah ibadah korban yang bakal kita jalani 10 Zulhijjah nanti.

Ibadah korban adalah untuk semua. Bukan hanya untuk mereka yang sedang melakukan ibadah haji mahupun mereka yang mampu daripada sudut kewangan menumbangkan haiwan korban. Namun, ia adalah suatu ibadah yang seharusnya dirasai oleh semua umat Islam secara keseluruhannya.

Lihat sendiri bagaimana ibadah mengorbankan haiwan korban ini sangat dituntut bagi mereka yang mampu. Selain daripada itu, segenap masyarakat Islam turut digalakkan untuk bersama-sama terlibat dalam menyempurnakan ibadah ini walau pun jika tiada membeli haiwan untuk dikorbankan. Adalah sangat digalakkan untuk masyarakat setempat mengambil peluang bersama-sama membantu di masjid atau surau yang melakukan sembelihan dalam kawasan kariah masing-masing.

Kemudiannya daging korban diagih-agihkan menuntut pertemuan secara fizikal antara penyampai dan penerima. Selain daripada itu ada juga kawasan yang bergotong-royong memasak dan makan bersama selepas kerja-kerja menyembelih, melapah serta membungkus daging korban selesai. Ini adalah amalan mulia yang seharusnya mampu membentuk kesatuan umat Islam.

Haiwan yang dikorbankan bukanlah untuk dibazirkan sepertimana amalan sesetengah kepercayaan karut yang kononnya haiwan dikorbankan adalah untuk dipersembahkan kepada Tuhan. Tetapi Islam tidak begitu. Daging korban haiwan yang disembelih akhirnya kembali kepada sesama manusia juga. Malah kepada yang lebih memerlukan.

Jika benar-benar makna ibadah korban ini dihayati bersama oleh umat Islam secara keseluruhannya, pasti kita akan menjadi suatu umat yang bersatu-padu dan kuat.

Perpaduan adalah antara syarat terpenting untuk mendapat kemenangan serta hidup yang harmoni selain daripada kesejahteraan akidah. Umat yang bersatu pasti tidak akan mudah goyah walau diasak kuat oleh musuh.

Begitu banyak sebenarnya amal ibadah yang dituntut dalam Islam sangat menitikberatkan soal kemanusiaan dan kesatuan. Antara lainnya, solat berjemaah, solat Jumaat, bersedekah, zakat dan banyak lagi. Semuanya menghubungkan antara seorang manusia dengan yang lainnya.

Islam bukan agama individualis yang penuh dengan ritual hanya untuk diri sendiri sahaja. Tidak dapat dinafikan bahawa Islam adalah agama yang sangat menepati fitrah manusia.

‘Hablumminallah’ dan ‘hablumminannas’, dua perkataan yang berjalan seiring. Islam menyeru umatnya untuk menjaga hubungan dengan Allah serta hubungan dengan sesama manusia.

Oleh itu, bersamalah kita menghayati serta mengambil peluang melalui ibadah korban ini secara khususnya dan semua amal ibadah yang lain secara amnya untuk kita perbaiki hubungan sesama insan. Jangan dibiarkan segala amal ibadah yang kita lakukan tanpa mengambil pengajaran serta hikmah di sebalik amal ibadah tersebut.

Selamat menyambut Hari Raya Korban 1440H. Taqabballahu minna waminkum.

Hjh Nurul Akmar bt Ramli
Aktivis ISMA Shah Alam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *