Ibu bapa & semangat patriotisma anak-anak

Esok merupakan hari yang istimewa buat seluruh rakyat Malaysia kerana Malaysia akan menyambut ulang tahun kemerdekaan kali ke-62. Kita sebagai rakyat Malaysia haruslah bersyukur dan mendoakan keharmonian dan keamanan yang kita nikmati ini berkekalan selamanya.

Sehubungan dengan itu, semangat patriotisma dalam kalangan rakyat berbilang kaum perlulah dipupuk dan dibajai sentiasa bermula dari peringkat usia kanak-kanak lagi. Ibu bapa perlulah memainkan peranan penting selain sistem pendidikan negara yang menyokong usaha ini. Antara usaha yang ibu bapa boleh lakukan adalah seperti berikut:

  1. Kenali Malaysia
    “Tidak kenal maka tidak cinta”. Oleh itu, ibu bapa boleh meluangkan masa dengan anak-anak bercerita mengenai negara yang harus mereka sayangi ini. Ajak anak-anak bersama-sama mengenal bendera, negeri-negeri yang terdapat dalam Malaysia serta perbezaan budaya setempat juga loghat bahasa dan kepelbagaian kaum dan agama yang menjadi antara ciri unik Malaysia.
  2. Lawatan ke tempat-tempat bersejarah.
    Inisiatif ini pastinya akan membantu anak-anak untuk menyayangi tanahair mereka. Peluang menziarahi tempat-tempat sejarah serta muzium akan membantu anak-anak mengenali sejarah tanahair dan bangsa sekaligus menambahkan rasa sayang kepada negara.
  3. Cakna peristiwa bersejarah dan kongsikan kisah tersebut dengan anak-anak.
    Sambutan hari kemerdekaan setiap tahun merupakan satu peluang keemasan untuk menbentuk sikap patriotik di kalangan anak-anak. Selain itu, upacara bersejarah seperti pertabalan Yang Dipertuan Agong juga merupakan momen yang istimewa serta wajar dihayati oleh semua rakyat Malaysia dari setiap lapisan usia.
  4. Terapkan rasa bangga dengan produk keluaran tempatan.
    Bagi melahirkan rasa patriotik terhadap tanahair, ibu bapa perlulah menyemai dalam diri anak-anak rasa bangga terhadap produk- produk keluaran Malaysia contohnya kereta nasional Proton, syarikat penerbangan Malaysia (MAS), syarikat petroleum Petronas dan sebagainya. Hal ini demikian kerana produk-produk ini merupakan bukti akan kemampuan rakyat Malaysia yang berdaya saing.
  5. Menghayati khazanah tradisi.
    Meskipun kita melangkah ke era moden tetapi seni dan kebudayaan warisan turun-temurun tidak harus dilupakan. Hal yang demikian kerana khazanah seni dan kebudayaan seperti khat, silat, seni-seni tarian, seni tenunan songket, batik dan sebagainya merupakan lambang ketinggian peradaban dan identiti bangsa. Ianya perlu diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya agar tidak pupus ditelan zaman.
  6. Mencintai bahasa Melayu.
    Meskipun bahasa Melayu telah diangkat sebagai bahasa kebangsaan sejak sekian lama, namun usaha-usaha ke arah memupuk rasa cintakan bahasa kebangsaan ini perlu dipergiatkan lagi terutamanya dalam kalangan golongan muda. Bahasa Melayu merupakan identiti negara Malaysia oleh itu setiap rakyat yang patriotik haruslah mampu menguasai bahasa kebangsaan ini.

Semangat patriotisma terhadap negara merupakan aspek yang penting dalam memastikan keamanan negara terus terpelihara. Selain itu, sikap ini khususnya dalam kalangan golongan muda akan melahirkan generasi yang mempunyai jatidiri yang utuh dan tidak mudah terpengaruh dengan anasir- anasir yang merosakkan. Oleh itu, ibu bapa perlu sedar peranan penting yang harus dimainkan kerana masa hadapan negara ini terletak di tangan anak-anak kita.

SAFURA IZYANI KAMARUDIN
Timbalan Ketua Wanita ISMA
Cawangan Shah Alam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *