Iftar Perdana BLN 2017

SHAH ALAM, 4 Jun – Biro Luar Negara (BLN) sekali lagi telah berjaya menganjurkan majlis berbuka puasa, ‘Iftar Perdana Biro Luar Negara Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)’ bertempat di Carlton Holiday Hotel and Suites, baru-baru ini. Majlis bermula pada jam 5.45 petang, didahului dengan ucapan alu-aluan daripada Ketua Biro Luar Negara ISMA, Tuan Hj Ir Lukman Al Hakim dan disusuli dengan ucapan perasmian majlis iftar BLN 2017 oleh Prof Dr Zainur Rashid, Naib Presiden 3 ISMA.

Majlis tradisi yang tahun ini sudah memasuki kali ke-5 diadakan, bertujuan meraikan seluruh warga BLN antaranya terdiri daripada alumni-alumni graduan universiti luar negara, mahasiswa mahasiswi yang merupakan penuntut univerisiti di luar negara tetapi kini sedang pulang ke tanah air bercuti sempena cuti semester serta para pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Di samping dapat mengeratkan ikatan persaudaraan dalam kalangan warga BLN, pada majlis iftar kali ini turut disaksikan pelancaran penubuhan dua buah persatuan alumni baru iaitu Alumni Pelajar AS – Kanada (ALASKA) dan Alumni Pelajar Korea Jepun (HANA), yang disempurnakan oleh Ustaz Mohamad Bin Ismail, Ketua Biro Sistem Usrah ISMA.

Dengan bertemakan slogan “Bersama Menghadapi Cabaran”, buat julung-julung kalinya majlis iftar kali ini dimeriahkan lagi dengan penyampaian Anugerah Cemerlang. Sebanyak 10 kategori anugerah telah dipertandingkan untuk menghargai usaha para alumni, mahasiswa dan mahasiswi, yang sangat komited dalam menyumbangkan tenaga dalam membangunkan amal dakwah baik menerusi cawangan ISMA dalam negara mahupun luar negara.

Majlis diserikan lagi dengan persembahan istimewa iaitu deklamasi sajak di dalam enam bahasa berlainan iaitu Jepun, Korea, Tamil, English, Maori dan Arab. Sajak yang bertajuk “Pewaris Amanah” itu dideklamasikan oleh para alumni yang dahulunya merupakan penuntut universiti di negara-negara berkenaan. Para jemputan turut bertuah kerana dihiburkan dengan beberapa buah nasyid dendangan kumpulan yang kini sedang melonjak naik namanya di persada industri nasyid tanah air, Rabithah.

Dengan kehadiran jemputan melebihi 300 orang, pihak BLN merakamkan sekalung penghargaan buat semua pihak serta individu-individu yang telah bertungkus-lumus dalam merealisasikan iftar perdana kali ini. Tidak lupa kepada para penaja yang telah bermurah hati memberikan sejumlah sumbangan khusus bagi BLN melestarikan projek-projek amal dan pembangunan modal insan pada masa akan datang. Semoga Allah memberkati segala usaha dan amal jariah ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *