Ini tanah air perjuangan

Rumah merupakan antara keperluan kehidupan yang sangat penting bagi manusia selain daripada makanan. Ia juga sinonim dengan maksud tempat berlindung, tempat rehat untuk diri dan keluarga serta menjadi aset penting yang akan sangat dijaga nilai dan keharmoniannya kerana ia merupakan tempat untuk meraih bahagia sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis;

مِنْ سَعَادَةِ الْمَرْءِ الْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ ، وَالْمَرْكَبُ الْهَنِيءُ

Maksudnya :” Antara (tanda) kebahagiaan seseorang ialah rumah yang luas, jiran yang soleh dan kenderaan tunggangan yang elok.” (Riwayat al-Bukhari)

Maka sekiranya ada perkara-perkara yang bakal menganggu-gugat keamanan rumah kita ini, pasti selaku tuan rumah, kita akan usahakan sehabis upaya untuk menangkis perkara tersebut dari melanda. Tidak kira daripada mana mahu pun apa jua rupa bentuk ancamannya sama ada dari dalam ataupun luar, pasti kita akan cuba atasinya kerana kita sedar apalah ertinya hidup dalam sebuah rumah yang tiada kerukunan justeru tidak aman.

Begitulah juga negara yang diduduki ini sekiranya kita menganggap ia seperti sebuah rumah kepunyaan kita. Selaku tuan rumah, haruslah kita punya sikap untuk menyayangi, menjaga serta mempertahankannya. Agak ironi jika kita sebagai tuan rumah tetapi memperlakukannya ibarat ia bukan milik kita. Dibiarkan sahaja kucar kacir, dicemar malah tidak kisah jika diambil orang. Memang ironi.

Cuba kita soroti kembali sejarah lampau bagaimana nenek moyang kita bertungkus lumus mempertahankan tanah air ini daripada cengkaman penjajah. Pelbagai modus operandi yang digunakan. Semuanya tidak lain tidak bukan untuk memastikan kelangsungan kedaulatan tanah air agar penduduknya dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni.

Tidak perlulah diceritakan betapa terseksanya hidup dalam suasana peperangan kerana pasti ramai sedia maklum betapa teruknya ia. Disebabkan oleh itu, kedaulatan ‘rumah’ ini harus kita jaga. Tanah air ini harus kita pelihara. Segala anasir luar yang boleh menjerumuskan kita ke lembah penjajahan harus kita lawan.

Bukanlah orang yang bijak jika hanya apabila sesuatu telah berlaku depan mata baru bertindak akan tetapi orang yang bijak ialah mereka yang boleh membaca masa hadapan melalui kajian-kajian serta pembelajaran melalui pengalaman agar perkara yang tidak diingini berlaku pada masa hadapan boleh dielakkan.

Cinta kepada tanah air ialah fitrah manusia. Apatah lagi jika ia merupakan sebuah negara yang mengangkat agama Islam dalam perlembagaannya. Sudah pastilah mempertahankannya menjadi tuntutan agama. Firman Allah s.w.t. yang menjadi bukti bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang benar berbunyi;

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ ۗ وَمَن يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ

“Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam. Tidaklah berselisih orang-orang yang telah diberi Al-Kitab, kecuali setelah mereka memperoleh ilmu, kerana kedengkian di antara mereka. Barangsiapa yang ingkar terhadap ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah sangat cepat perhitungan-Nya.” (Ali ‘Imran: 19)

Maka, adalah menjadi kewajipan terhadap kita yang beragama Islam untuk terus memastikan bahawa Islam ini menjadi agama kepada tanah air kita. Kecintaan kita kepada tanah air ini bukanlah suatu yang membuta tuli atau sia-sia malah merupakan suatu bukti yang menzahirkan keimanan kita kepada Allah s.w.t.

Oleh itu, bersempena dengan bulan kemerdekaan ini marilah kita bersama terus suburkan rasa cinta terhadap negara lalu menanam tekad serta azam yang kuat untuk mempertahankan kedaulatannya. Jauhilah perselisihan kecil lalu fokus kepada perkara penting seperti perpaduan yang menjadi asas kepada keharmonian sesebuah negara.

Marilah kita bersatu padu, bersepakat dan saling hormat menghormati antara satu sama lain demi untuk menjaga keamanan yang kita kecapi sejak sekian lama ini. Jangan dilanggar garis sempadan sedia ada yang boleh menjerumuskan kita kepada ketidakstabilan negara.

Bersama kita belajar daripada sejarah mahupun pengalaman negara lain yang akhirnya musnah akibat daripada perpecahan lalu diambil kesempatan yang ada oleh musuh yang sentiasa menangguk di air yang keruh.

Jika bukan kita, siapa lagi yang mahu diharapkan?

اِنَّ اللّٰهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتّٰى يُغَيِّرُوۡا مَا بِاَنۡفُسِهِمۡ

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka ” (Surah Ar-Ra’d: 11)

Semoga negara Malaysia yang tercinta ini mendapat perlindungan Allah s.w.t., dijauhi daripada ancaman luar mahu pun para pengkhianat negara, agar kedaulatannya terus terpelihara. Negara kita, rumah kita. Bersama kita pastikan setiap penghuni isi rumah ini bersatu hati menjaganya.

Hjh Nurul Akmar bt Ramli
Aktivis ISMA Shah Alam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *