Isma Shah Alam kesal jika pesta arak diadakan di Selangor

Oleh
Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 4 Muharram 1439H, Isnin – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Shah Alam kesal sekiranya kerajaan negeri Selangor membenarkan pesta arak Better Beer Festival 2017 dianjurkan di negeri ini.

Yang Dipertua Isma Shah Alam, Ustaz Mohammad Rizal Sabran berkata, sepatutnya apa sahaja usaha maksiat yang boleh mengundang kemurkaan Allah dielakkan daripada berlaku.

“Kita patut mengundang keredaan Allah dan bukan kemurkaan-Nya agar negeri dan negara ini sentiasa mendapat barakah dan dijauhkan daripada sebarang musibah.

“Saya yakin bahawa kemudaratannya adalah sangat besar selain ia merosakkan akal yang setelah itu akan berlakulah perkara-perkara yang tidak diingini, bahkan akan mengancam keselamatan awam.

“Bagaimana ceteknya fikiran jika beranggapan ia suatu yang tidak mendatangkan bahaya kepada awam,” katanya kepada Ismaweb, hari ini.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan pendirian kerajaan negeri bahawa penganjur mesti mematuhi peraturan dan undang-undang pihak berkuasa tempatan, jika mahu menganjurkan pesta itu di Selangor.

Ia juga adalah bagi menghormati adat resam dan budaya kaum-kaum yang membentuk rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, Ustaz Rizal berkata, hak kaum minoriti memadai dilakukan di rumah mereka sendiri dan tidak dilakukan di tempat umum seperti menganjurkan pesta dan seumpamanya.

Sumber : Ismaweb | Isma Shah Alam kesal jika pesta arak diadakan di Selangor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *