Israʼ dan Miʼraj Peluang Didik Anak-Anak

Sebut sahaja Ultraman, Miniforce, Ejen Ali – kepada anak-anak lelaki – pasti mereka boleh bercerita lebih lagi tentangnya. Sebut watak My Little Pony, Doraemon, Robocar Poli – kepada anakanak perempuan, pasti senyuman akan terukir sambil membayangkan betapa indahnya jalan cerita kartun tersebut. Anak-anak hari ini memang telah terdedah dengan pelbagai watak dan karektor ‘superheroʼ.

Keajaiban kuasakuasa hebat yang di luar logik akal yang amat menarik perhatian mereka akhirnya membangkitkan imaginasi anak-anak tersebut. Tambahan pula, kemampuan kartun “superhero” itu sangat mempengaruhi anak-anak kecil sehingga dapat mengubah peribadi, percakapan dan gaya mereka.

Meskipun kita sebagai ibu bapa sedia maklum bahawa perkara tersebut adalah palsu, dongeng dan hanya sekadar rekaan semata-mata, namun di sisi anak-anak, mereka akan tetap menjadikan kuasa hebat dan ajaib tadi sebagai impian yang mereka ingin miliki. Semua watak ‘superheroʼ juga akan merajai hati mereka sebagai idola mereka yang paling agung. Ini tak dapat dielakkan kerana sebagai seorang manusia yang penuh dengan rasa ingin tahu, naluri asas akan tercari-cari manakah kuasa hebat yang mampu berikan kepuasan “kuasa” dan “imaginasi” yang memenuhi minda mereka.

Israʼ Miʼraj : Nabi Muhammad Adiwira Sejati

Maha suci Allah yang telah menunjukkan kebesaran dan kekuasaan-Nya melalui peristiwa bersejarah Israʼ dan Miʼraj ini. Dalam peristiwa Israʼ dan Miʼraj sebenarnya, Nabi Muhammad s.a.w. diperjalankan Allah dari Kota Makkah yang terletak di Tanah Hijaz, ke Al-Aqsa Palestin di Bumi Syam ; hanya dalam tempoh satu malam adalah sesuatu yang sangat menakjubkan. Baginda Rasulullah s.a.w. lah yang wajar diangkat sebagai adiwira buat anak-anak kita. Baginda melakukan suatu perjalanan yang sangat jauh dalam masa yang sangat singkat dengan menunggangi Buraq, tunggangan dari syurga yang boleh bergerak sepantas kilat.

Apa yang lebih menarik sebenarnya, peristiwa tersebut adalah ‘realʼ, bukannya dongeng atau sekadar rekaan mahupun suatu yang mistik. Selain itu, Nabi Muhammad s.a.w. juga telah mempamerkan ciri-ciri kepimpinan yang sangat hebat melalui peristiwa ini apabila baginda s.a.w. telah mengimamkan solat yang disertai oleh sekalian nabi dan rasul terdahulu. Baginda adalah pemimpin bagi segala pemimpin yang telah dipilih Allah s.w.t. Oleh yang demikian, anak-anak kita boleh dilatih untuk menjadi imam bagi meningkatkan ciri-ciri kepimpinan mereka sepertimana yang ditunjukkan oleh Nabi SAW.

Bukanlah suatu yang mustahil untuk mengajarkan rasa cinta dan sayang anak-anak kita kepada Ar Rasul s.a.w yang telah lama meninggalkan kita, kerana sebenarnya anak-anak kita sudahpun mula mencintai watak-watak kartun di alam maya tanpa perlu bertemu secara fizikal pun. Dalam peristiwa Miʼraj, pelbagai situasi membuka minda yang telah dipertontonkan Allah kepada Ar-Rasul s.a.w. Para ibu bapa perlu menerapkan nilai keimanan dan keyakinan dalam diri anak-anak tentang balasan baik dan buruk bagi setiap amalan yang dilakukan di dunia ini. Muslim sebenar hanya menjadikan dunia sebagai tempat persinggahan dan hari akhirat adalah kehidupan sebenar yang kekal abadi.

Anak Beriman dengan Alam Ghaib, Anak Berjaya

Ibu-ibu dan bapa-bapa, Ambil lah peluang untuk duduk bersama anak-anak dan bercerita tentang peristiwa Israʼ Miʼraj. Sebuah kisah agung yang mengaitkan alam bumi dan alam langit, untuk menanam iman yang teguh dalam jiwa anak-anak. Penuhkan kekosongan imaginasi mereka dengan banyaknya kisah-kisah Nabi s.a.w dan para sahabat r.a. Ketahuilah bahawa saat anakanak kita beriman tentang wujudnya hari akhirat, yakin tentang balasan pahala dan dosa serta syurga dan neraka sebagai tempat pengakhiran abadi, pasti mereka akan sentiasa berusaha untuk melakukan kebaikan serta meninggalkan kemungkaran.

Ibu bapa akan lebih tenang hati walaupun anak-anak tidak berada di depan mata, kerana sifat muraqabah Allah telah tertanam dalam hati mereka. Baik buruk tingkah harian akan diukur dengan iman, dan dengan iman jugalah, mereka akan memilih teman yang soleh/ah sebagai kawan rapat. Alangkah sejuknya hati kita semua wahai ibu dan ayah! Hanya doa anak soleh bakal menjadi bekal penyelamat kita saat mata telah terpejam, nafas turut terhenti dan nadi tidak lagi berdenyut kelak. Oh ya, saya telah berjanji untuk menceritakan kisah Israʼ dan Miʼraj kepada anak sulung saya malam ini. InsyaAllah akan ditunaikan!

Salam Israʼ dan Miʼraj! Keluarga bahagia, masyarakat sejahtera.

Ustaz Shahier Saʼmin
Pengerusi Biro Keluarga & Masyarakat
Isma Shah Alam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *