Isra’ Mikraj Mengajar Kita Untuk Menjadi Muslim Sejati

Rejab hadir lagi, dalam rangka mengingatkan kita tentang satu peristiwa agung dalam sejarah Tamadun Manusia; Isra’ Mikraj.

Isra’ Mikraj yang berlaku pada satu malam sahaja melibatkan jasad dan ruh Nabi SAW. Baginda diisra’kan daripada Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Kemudian Baginda dimi’rajkan ke langit yang tinggi. Seterusnya pulang kembali ke rumah Baginda di Makkah pada malam itu juga. Baginda memberitahu Quraisy tentang mukjizat itu. Mereka mempersendakan dan memperlekehkan Baginda. Namun, Abu Bakar dan mereka yang kuat imannya telah membenarkan Baginda. Ini tidak sama sekali memberhentikan usaha dakwah Baginda.

Pada malam Isra’ dan Mikraj tersebut, sembahyang lima waktu difardhukan keatas setiap orang Islam yang baligh dan berakal.

Beberapa ‘ibrah daripada peristiwa Isra’ Mikraj buat pedoman dan teladan kita,

1) Isra’ Mikraj memberitahu kita bahawa isu Baitul Maqdis dan kawasan sekitarnya ada hubungkaitnya dengan dunia Islam. Selepas perutusan Nabi Muhammad saw, Makkah menjadi pusat perhimpunan dunia Islam dan meyatukan segala visinya. Peristiwa Isra’ Mikraj ini juga menunjukkan usaha mempertahankan Palestin sebenarnya mewakili usaha mempertahankan Islam. Setiap Muslim di seluruh inci bumi, wajib melaksanakan usaha ini. Kecuaian mempertahankan dan membebaskan Palestin merupakan kecuaian terhadap Islam.

Hari ini, Palestin dan seisinya ditindas tanpa belas oleh Zionis Israel laknatullah. Jangan kita berasa kedekut untuk menghulurkan bantuan kepada mereka. Usah lupa panjatkan doa buat mereka setiap waktu ketika kerana tanah Palestin adalah tanah kita, lambang kita mempertahankan agama kita.

اللهُمّ حَرِّرِ الأقصى بِراياتِ الأيمان وصَيْحَةِ التَكْبير وارْزُقْنا فيه صلاةً طَيِّبَةً مُباركة

“Ya Allah, bebaskanlah Masjidil Aqsa dengan lambang keimanan dan laungan takbir, serta rezkikanlah kami untuk solat disana.”

2) Isra’ Mikraj menjadi simbol kepada ketinggian kedudukan seorang Muslim berbanding selainnya. Juga menjadi petanda bahawa setiap Muslim berkewajipan mengangkat tinggi dirinya mengatasi kehendak hawa nafsu serta kepentingan peribadi. Apatah lagi, sangat perlu mengangkat tinggi dan merasa bangga (‘izzah) dengan Islam ini mengatasi apa jua tuntutan yang memenangkan musuh-musuh Allah swt daripada kalangan kuffar.

Jadi, kita wajib menjadi insan yang hebat di kalangan seluruh manusia. Samada dari segi kedudukan yang tinggi, mempunyai visi yang mulia dan sikap kita yang sentiasa berlegar dalam lingkungan nilai-nilai mithali dan murni selama-lamanya agar dapat menjadi contoh tauladan yang baik.

3) Sifat musuh Islam dari kalangan orang-orang kafir, sama sepanjang zaman. Sehinggalah hari ini. Mereka tidak sekali-kali akan mengiktiraf akidah suci ini. Tidak sama sekali mempercayai seruan yang dibawakan oleh utusan Allah swt. Bahkan mereka sedaya upaya usaha dengan muslihat dan penipuan akan menjatuhkan agama ini.

Disinilah perlunya kita berterusan mencontohi keteguhan baginda Rasulullah dan para sahabat untuk tetap berpegang dengan kebenaran serta meninggikan keberanian untuk tetap menyatakan kebenaran dihadapan kebatilan walaupun diancam, dicerca serta dihina. Lebih-lebih lagi di akhir zaman ini di mana Islam itu dianggap asing.

4) Solat merupakan suatu ibadah yang sangat istimewa berbanding ibadah-ibadah yang lain, dimana pensyariatannya adalah secara terus kepada Baginda SAW sebagai hadiah teristimewa. Solat yang di fardhukan kepada kita hanya 5 waktu adalah lambang kasih sayang Allah swt kepada kita, kerana asal kefardhuannya 50 waktu sehari semalam. Solat adalah sumber kekuatan buat Mukmin. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah :

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ

“Dan mohonlah pertolongan Allah dengan bersabar dan mendirikan solat. Sesungguhnya Ia menjadi amat berat kecuali untuk golongan yang khusyuk (rendah diri terhadap Allah & bertaqwa)” (45)Sesibuk mana pun kita, walau berada dimana pun kita, hatta walau dalam keadaan sakit sekali pun kita, berilah hak kita untuk tunaikan solat dengan sebaiknya. Jika tidak, Allah akan penuhi tangan-tangan kita dengan kesibukan kerja yang tiada penghujungnya. Solat adalah jambatan yang menghubungkan seorang hamba dengan Tuhannya. Dari hubungan inilah hati kita akan mendapat kekuatan. Jiwa kita mendapat bekalan yang lebih berharga dari segala harta kekayaan dunia.

Semoga Allah swt terus memberi kekuatan dan taufiq-Nya kepada kita untuk kita terus meniti hari-hari kita dalam usaha untuk sentiasa dalam keredhan dan rahmat daripada-Nya.

اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبَلّغْنا رمضان

“Ya Allah berkatilah kami di bulan Rejab dan Syaban dan sampaikanlah kami kepada Ramadan.”

Ustazah Elyah Ali,
Ahli Jawatankuasa Kluster Tarbiyah ISMA.
Ahli Jawatankuasa ISMA Cawangan Shah Alam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *