Jangan cagar maruah dengan asap vape

MELIHAT kepada budaya merokok dan vaping yang kini semakin menular dalam kalangan belia wanita bahkan mahasiswi di institusi pengajian tinggi (IPT), memanggil saya untuk memberi respon terhadap isu ini.

Alat elektronik yang kebanyakan diimport dari Negara China, United Kingdom, Filipina, Amerika Syarikat dan Korea ini telah dimonopoli penggunaannya oleh hampir satu juta golongan muda di Malaysia tidak kira lelaki mahupun perempuan, telah dianggap sebagai satu budaya yang cool dan popular.

“Daripada hisap rokok, lebih baik hisap vape!”

Vape dikelaskan sebagai selamat dan jimat berbanding rokok, maka ianya dikira boleh diambil oleh gadis mahupun wanita. Mereka pula tanpa segan silu menghembus kepulan asap tebal di khalayak ramai. Percayalah, para lelaki meskipun perokok tegar sekalipun mengakui tidak menyukai melihat gadis menghisap vape, kerana menganggap gadis seperti ini tidak mempunyai pegangan malah tiada tarikan.

Budaya ini juga tidak sinonim dengan wanita kerana ia bukanlah satu budaya ketimuran.

Impak yang sangat jelas boleh kita lihat dari ketagihan vape ialah ianya satu fenomena yang nyata melekakan, menyumbang kepada ketagihan, pembaziran wang serta boleh mengancam kesihatan dan nyawa. Sekali gus, hilang nilai kewanitaan akibat merokok dan vaping ini.

Di mana sahaja, masyarakat semakin rakus malah semakin bangga berkongsi gambar di laman sosial yang kononnya mengikut trend. Hakikatnya, tanpa disedari telah hilang elemen serta ciri kesantunan dan kesopanan, serta menjejaskan imej wanita Islam yang cukup terkenal dengan adab sopannya.

Sebagai seorang wanita Islam, kita mesti meninggalkan perkara yang merosakkan. Sedarlah, andai kita rosak, bukan hanya diri kita seorang yang rosak, malah keluarga dan orang sekeliling turut menerima tempias akibat perbuatan sia-sia itu.

Usaha penganjuran Festival Vape baru-baru ini yang diadakan di Shah Alam Convention Centre (SACC), berjaya mengumpulkan pengguna vape termasuk gadis bertudung. Hal ini dilihat mereka sedang meniru budaya orang bukan Islam, yang sebenarnya dilihat tidak bermaruah.

Budaya ini bukanlah satu proses kemodenan, apabila fenomena ini seolah-olah menggambarkan ianya adalah normal. Mereka yang membantah pula dilabel sebagai seorang yang kolot dan menyekat hak individu walhal sudah jelas vape ini bertentangan. Islam mengharamkan semua perkara yang memabukkan dan memudaratkan diri.

Fenomena vape ini seolah memperkuda masyarakat mahupun pemimpin. Ramai golongan belia yang menceburi dalam bidang perniagaan industri vape pula dianggap membantu ekonomi negara.

Kita seharusnya cakna terhadap apa-apa serangan mendatang dan menunjukkan solidariti membantah sebarang penganjuran, sebagai contoh Kempen ‘Right To Vape, Vape It Right’.

Minat golongan muda terhadap budaya vape jelas terang tidak memberi faedah dan manfaat secara langsung dalam kehidupan, dan ianya tidak perlu disokong.

Ini bukan aspirasi anak muda yang perlu diagung-agungkan tetapi lebih kepada kehendak serta kemahuan terhadap budaya asing yang menjadi trend dan menyumbang kepada gejala sosial.

Keputusan kabinet telah bercanggah dengan Majlis Fatwa Kebangsaan, dan dakwaan menteri bahawa vape merupakan aspirasi anak muda adalah disangkal. Aspek pembangunan jatidiri belia sepatutnya dipandang lebih serius.

Sehubungan dengan itu, saya mewakili Beliawanis Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) mendesak agar kajian dibuat semula terhadap keputusan kabinet.

Tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat serbuan terhadap Brewers yang melibatkan beberapa Vapeshops dipuji dan dilihat sebagai satu tindakan serius yang harus dilaksanakan dengan lebih kerap dari masa ke semasa.

Saya juga mendesak agar meneliti semula dan menguatkuasakan pengharaman rokok, vape dan e-cigarette serta menjalankan penguatkuasaan merampas bahan yang mengandungi nikotin.

Kami di PEMBINA mengajak seluruh masyarakat agar menyertai suara bantahan ini sehingga terkuburnya budaya vape di Malaysia, khususnya.

Ayuh Beliawanis, cakna terhadap apa yang sedang berlaku di sekeliling kita. Jangan sampai diri dan orang sekeliling terpengaruh dengan budaya vape sehingga melunturkan jati diri serta pegangan kita sebagai umat Islam. Wallahualam.

Nur Afirah,
Akademi Tokoh Beliawanis PEMBINA
Timb. Ketua Media PEMBINA Shah Alam
‪#‎AnakMudaTolakVape‬‬ ‪#‎SayNoToVape‬‬

Sumber : Ismaweb | Jangan cagar maruah dengan asap vape

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *