Kematian yang menghidupkan



Tragedi yang berlaku di Christchurch baru-baru ini sehingga mengorbankan seorang rakyat Malaysia, adik Mohd Haziq, mengingatkan saya kepada sebuah kisah yang sangat terkenal diceritakan melalui sebuah hadis yang dikenali sebagai Hadis Ghulam.

Melalui hadis tersebut kita dapat mengetahui bahawa Ghulam akhirnya maut dengan cara diajarkan oleh dirinya sendiri kepada raja yang mahu membunuhnya setelah raja gagal untuk berbuat demikian dengan berkali-kali cubaan.

Lalu, Ghulam sendiri memberi panduan kepada raja untuk mengikat dirinya di sebatang pokok untuk dipanah sambil disaksikan oleh seluruh rakyat jelata pada waktu itu. Namun, punya satu lagi tambahan syarat yang sangat penting iaitu raja hendaklah menyebut “Dengan nama Allah, Tuhan budak (Ghulam) ini” sebelum melepaskan anak panah yang akhirnya hanya sipi-sipi terkena pada sisi mukanya lalu diizinkan Allah untuk Ghulam mati di tempat kejadian.

Apa yang terjadi selepas itu adalah suatu yang tidak dimahukan oleh raja yang mengakui dirinya sebagai Tuhan. Rakyat mula tertanya-tanya “Ada Tuhan selain raja?”.

Setelah apa yang dipersaksikan di hadapan mata mereka sendiri, lalu ramailah berbondong-bondong rakyat jelata beriman kepada Allah swt mengingkari penyataan bahawa raja adalah Tuhan. Mimpi ngeri sang raja yang zalim menjadi nyata.

Suatu kematian yang tidak disia-siakan. Ghulam pergi menemui Tuhannya sebagai syuhada’ (orang yang nati syahid) dan dalam masa yang sama menjadi penyebab kepada berimannya ramai lagi yang lain yang masih hidup.

Begitulah juga kiasannya tragedi berdarah ini. Kematian 50 orang para syuhada’ membuka lebih ramai lagi mata untuk mengenali Islam lalu kembali kepada fitrah asalnya untuk mengakui kebenaran dan keesaan Allah swt. Dilaporkan setelah beberapa hari sahaja tragedi tersebut berlaku, beratus rakyat tempatan New Zealand memeluk agama Islam.

“Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justeru) menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya.” (QS. Ash-Shaff: ayat 8)

“Mereka berkehendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan- ucapan) mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahayaNya, walaupun orang-orang yang kafir tidak menyukai.” (QS. At-Taubah: ayat 32)

Hjh Nurul Akmar Ramli
Aktivis ISMA Shah Alam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *