Kerajaan digesa haramkan tulisan Jawi pada produk bukan Islam

DEWAN Pembangunan Perniagaan Usahawan Malaysia (MCED) menggesa Kerajaan membawa akta khas ke Parlimen bagi melarang penggunaan tulisan Jawi pada pembungkusan produk bukan Islam.

Presiden MCED, Datuk Nazilah Idris berkata, tulisan Jawi yang disalah guna akan mengelirukan pengguna kepada status halal sesuatu produk.

Menurutnya, perkara itu merupakan resolusi yang dicapai menerusi persidangan yang diadakan dan berharap ia diberi perhatian serius dan diangkat oleh pihak kerajaan.

Program itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Usahawan, Muhammad Razman Abu Samah.

Nazilah berkata, MCED selaku badan bukan kerajaan (NGO) bergerak membantu usahawan dan menjadi pemangkin antara usahawan dan agensi kerajaan.

“Sebagai pihak ketiga, kami berharap suara itu dapat disampaikan,” katanya.

Program Persidangan Pemasar Tempatan yang menghimpunkan 120 usahawan tempatan itu diadakan bagi menyatukan sebanyak mungkin mini market dan hypermarket.

Ia bertujuan menghubungkan secara langsung usahawan yang mempunyai produk kepada platform ini tanpa melalui orang tengah dan mampu diangkat ke pasaran global.

Selepas ini, program akan menjelajah ketiga lokasi lain, iaitu di Kota Bharu, Johor Bahru dan Sabah.

Turut diadakan pada program itu, perjanjian persefahaman (MoU) antara MCED dengan tujuh buah mart, iaitu AzZain Mart, Ikhwan Mart, Tekun Mart, ST Rosyam Mart, Lesong Mart dan RisSmart.

Menurut Nazilah, menerusi sesi ‘pitching dan busines matching’ yang diadakan usahawan ini diharap dapat mengetengahkan produk mereka untuk dipasarkan di mart yang terlibat.

“Pada awalnya, kami meletakkan sasaran 50 usahawan, tetapi sambutan diterima amat menggalakkan sehingga 120 orang usahawan yang terlibat pada hari ini,” katanya. – Sinar Harian

Sumber: Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *