Majlis Korban Aidiladha Isma bersama Warga Alam Impian

Oleh Mohd Norhafizi Noor Azmi

SHAH ALAM, 13 Zulhijjah 1439H, Sabtu – Isma Shah Alam bersama Surau Al-Ikhlas dan penduduk Pangsapuri Tun Teja 1, Alam Impian, Shah Alam telah berganding bahu bagi menjayakan ibadah korban sempena Aidiladha bagi penduduk kawasan pangsapuri ini.

Majlis korban dimulakan pada jam 8.30 pagi dan diadakan di perkarangan gelanggang badminton Pangsapuri Tun Teja 1 dengan penyertaan daripada jawatankuasa Surau Al-Ikhlas, belia setempat dan ahli-ahli Isma yang turun membantu bagi melancarkan ibadah korban kali ini. Turut hadir adalah Ustaz Loqman Al-Hakim selaku imam Masjid Alam Impian bagi mengetuai upacara penyembelihan.

Sebanyak 3 ekor lembu telah dikorbankan hasil penyertaan penduduk setempat dan ahli Isma Shah Alam beserta seekor kambing bagi tujuan aqiqah.

Turut diadakan aktiviti aktiviti khas untuk kanak-kanak seperti mewarna dan menghasilkan kraftangan berbentuk kambing biri-biri bagi memperingati sirah Nabi Ibrahim yang diperintahkan Allah untuk mengorbankan anak baginda iaitu Nabi Ismail, seperti yang tercatat di dalam Surah As-Saffat, 37:102.

Para sukarelawan yang telah bertungkus lumus menyelesaikan ibadah korban dihidangkan dengan jamuan makan tengah hari berupa sup dan kari daging. Majlis berakhir kira-kira jam 1 petang. Agihan daging korban kepada asnaf dan fakir miskin kemudiannya diuruskan oleh pihak surau melalui kupon agihan yang telah diberikan lebih awal kepada golongan asnaf dan penduduk setempat.

Diharapkan melalui program ibadah korban ini, dapat membantu sedikit sebanyak golongan yang memerlukan dan mengeratkan lagi silaturrahim dan kerjasama antara jawatankuasa surau Al-Ikhlas, penduduk pangsapuri, ahli Isma Shah Alam dan masyarakat di sekitar kawasan tersebut.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *