Merdeka dan semangat perjuangan: Teladan sepanjang zaman

Pernahkah anda terfikir apakah yang difahami oleh generasi millennial hari ini tentang kemerdekaan? Jarak waktu yang semakin jauh dari era perjuangan tokoh nenek moyang kita sebenarnya telah memamah semangat perjuangan dari hati anak muda hari ini. Tokoh-tokoh kemerdekaan ramai yang telah meninggalkan bumi tercinta, kisah dan penceritaan dari pengalaman hebat mereka semakin jarang diperdengarkan.

Perjuangan bebas dari penjahahan melawan kuasa luar bermula semenjak dari Kesultanan Melayu Melaka yang menyaksikan pertempuran melawan Portugis. British kemudiannya menjajah Tanah Melayu dan perjuangan diteruskan oleh orang tempatan seperti Tok Janggut, Dato Bahaman dan lain-lain. Perjuangan mereka ini dibalas dengan darah dan nyawa.

Mungkin pada zaman ini definisi perjuangan mungkin berbeza walaubagaimanapun bagi mengekalkan kemerdekaan yang dikecapi oleh rakyat Malaysia harus berjuang mempertahankannya. Kita perlu sedar pada setiap zaman Allah swt akan menguji hambaNya dan perlu berjuang dan bersabar dalam mengharungi ujian tersebut.  Kerap kali kita dengari pihak-pihak yang cuba mempersoalkan perlembagaan negara, malah ada yang berani menghina Jalur Gemilang tanpa rasa bersalah.

Semua ini harus dihentikan serta merta. Pihak kerajaan, NGO dan semua pihak perlu bersama-sama membawa semangat perjuangan dan nasionalisme kembali ke dalam diri masyarakat hari ini. Perjuangan hari ini adalah untuk memerdekakan ideologi kita daripada kuasa asing. Perjuangan hari ini adalah untuk memperkukuh jati diri, mengikat keharmonian dan saling menghormati.

Perjuangan memertabatkan bahasa ibunda juga perlu disepakati oleh semua pihak sebagai ejen penyatuan masyarakat. Semangat cintakan bahasa ibunda mesti disemai dalam masyarakat supaya adat dan seni budaya dari zaman perjuangan nenek moyang kita dapat dikekalkan.

Mahu tidak mahu, kita mesti semaikan kembali semangat perjuangan sebenar dalam diri anak muda kita. Sejarah mungkin dimamah usia, namun semangat perjuangan para tokoh terdahulu mesti dikekalkan dan disemadi dalam darah daging anak Malaysia. Marilah bersama mengambil tanggungjawab kerana perjuangan yang lalu tidak lagi bernoktah. Kita hari ini berdepan dengan ‘penjajahan’ yang jauh lebih halus & sukar untuk diperangi.

Bersempena dengan hari kemerdekaan yang bakal tiba pada tahun ini kami Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Shah Alam ingin mengucapkan selamat menyambut hari kemderdekaan yang ke 62 kepada semua rakyat Malaysia.

Sekian.
Muhammad Adib Abdullah
Setiausaha
Ikatan Muslimin Malaysia
Shah Alam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *