Muslim disaran Perbanyakkan Amal Soleh

Assalamualaikum w.b.t

“Siapa berpuasa Ramadhan imanan wa ihtisaban (dengan keimanan dan mengharap pahala), diampuni dosa-dosanya yang telah lalu. Dan siapa solat pada Lailatul Qadar imanan wa ihtisaban (dengan keimanan dan mengharap pahala), diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Bukhari dan Muslim)

Alhamdulillah, Ramadan tiba lagi. Setahun berpisah dengannya akhirnya Allah rezekikan kita bertemu Ramadan sekali lagi.

“Jika telah datang bulan Ramadan, pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup, dan syaitan-syaitan dibelenggu” (Muttafaqun ‘alaih)

Sebagai orang Muslim, kita harus mengambil kesempatan yang ada membuat sebanyak mungkin amal soleh. Diceritakan apabila tibanya Ramadan, Nabi Muhammad s.a.w menggandakan semua ibadah rutin baginda. Solat diperbanyakkan dan diperpanjangkan. Tadarus Al-Quran bersama-sama dengan malaikat Jibril hingga khatam. Infaq yang lebih banyak daripada bulan lain.

Rezeki Ramadan ini bukan Allah berikan kepada semua orang, hanya insan-insan terpilih sahaja bertuah memasukinya. Di dalam bulan Ramadan di janjikan pahala sunat yang seperti pahala fardhu. Manakala pahala fardhu digandakan 70 kali ganda! Cuba bayangkan sekiranya kita tambahkan dengan amal soleh yang lain. Betapa mudahnya untuk memasuki syurga bagi orang-orang yang berfikir.

Sejajar dengan itu, PEMBINA Shah Alam mengadakan beberapa aktiviti khusus untuk belia di ipt seperti memberi makan melalui edaran kurma, tadarus Al-Quran dan juga program Qiyamullail Perdana. Kami menyeru belia-belia IPT sekalian untuk bersama-sama dengan kami bagi memeriahkan aktiviti Ramadan ini sekaligus menambah pahala berlipat ganda!

Mohd Khairil Alias
Pengerusi PEMBINA Shah Alam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *