Peringatan Akhir Zaman – Usrah Wanita

SHAH ALAM, 27 Januari 2018 – Telah berlangsung Usrah Wanita dengan kerjasama Muslimat Masjid Al-Ikhlas di Masjid Al-Ikhlas Seksyen 13 Shah Alam. Usrah Wanita kali ini disampaikan oleh Puan Zaharah Johari, Ketua Kelab Anak Hebat (NAZIM) ISMA dengan tajuk “Peringatan Akhir Zaman”.

Di dalam pengisian tersebut beliau menasihatkan agar mempersiapkan diri dari tipu daya dajjal antaranya dengan mengamalkan Surah Al-Kahfi. Surah yang mengandungi 110 ayat ini sarat dengan pelbagai pengajaran yang sangat berguna di dalam kehidupan seharian kita.

Selain itu, beliau turut memberikan beberapa solusi untuk mengelak dari fitnah dajal iaitu sentiasa berdampingan dengan orang soleh. Berada di samping orang soleh akan membantu mengingatkan kita untuk melakukan amal ibadah. Puan Zaharah juga mengingatkan para hadirin bahawa harta dan pangkat merupakan satu fitnah dunia. Sebagai muslim sejati tidak seharusnya merasakan itu semua milik sepenuhnya dan atas usaha sendiri. Bahkan kita perlu sentiasa berpegang yang semua ini diperolehi daripada kekuasaan dan keizinan yang Maha Esa.

Sifat tawaduk dengan ilmu yang ada juga sangat penting. “Fitnah akhir zaman juga tidak terlepas sama sekali untuk golongan yang berilmu apabila mereka merasa sombong, merasa dirinya lebih hebat, lebih pintar, daripada yang lain,” katanya mengakhiri Usrah Wanita kali ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *