Petronas Adiwira Seluruh Rakyat Malaysia

Selain sumbangan terus terhadap pembangunan negara dan kebajikan warga Malaysia melalui dividen kepada kerajaan saban tahun, jasa paling besar PETRONAS pada pandangan saya ialah menjadi inspirasi dan motivasi serta adiwira (hero) buat seluruh rakyat Malaysia

PETRONAS mengajarkan kita semua orang boleh berjaya jika memiliki matlamat, kesungguhan dan pengorbanan yang tinggi

Bermula dengan hanya 15 orang pekerja ketika penubuhannya pada tahun 1974, syarikat minyak dan gas nasional ini telah berkembang menjadi gergasi di persada antarabangsa dengan lebih 50,000 pekerja di 35 buah negara seluruh dunia

PETRONAS merupakan satu-satunya syarikat Malaysia yang termasuk dalam senarai syarikat Fortune Global 500. Pada kemuncak prestasinya PETRONAS pernah menjadi syarikat ke-8 paling untung di dunia dan syarikat nombor satu paling untung di Asia

Sepanjang tempoh saya belajar dan bekerja di luar negara, saya mendapati orang luar mengenali Malaysia disebabkan PETRONAS. Walaupun sebahagian mereka tidak mengetahui kedudukan geografi Malaysia (mereka tahu di mana Singapura!) namun rata-rata mengetahui Menara Berkembar PETRONAS yang merupakan menara berkembar tertinggi di dunia dan penaja Perlumbaan Formula 1 bersama BMW Sauber (kini Mercedes AMG) adalah milik sebuah negara yang bernama Malaysia

Saya merasa amat bangga!

Perasaan bangga yang sama harus ditanam dalam setiap diri anak-anak kita, generasi masa depan negara. Bukan watak-watak adiwira imaginasi seperti Superman, Spiderman, Batman dan Ultraman, tapi yang sepatutnya menjadi hero mereka (dan kita semua) ialah PETRONAS!

Ajarkan mereka nilai perjuangan generasi terdahulu membangunkan syarikat dan negara ini. Latih mereka untuk sentiasa menyokong produk bertaraf dunia ini. Semaikan keberanian dan keperwiraan dalam diri mereka untuk terus mempertahankan amanah Yang Maha Esa ini. Ayuh, mulakan dengan diri anda sebagai hero kepada anak-anak ini

Selamat Meraikan Adiwira Baru Kita Semua.

Selamat Hari Jadi Ke-45 PETRONAS!

Ir Haji Lukman Al Hakim

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *