Usaha sebelum natijah

“Fuhh penat juga eh. Kenapa la kita kena buat semua ni susah-susahkan diri? Boleh ke tegakkan Islam dengan cara macam ni? Kita minta tandatangan je pun, bukan minta bayaran itu pun ada yang tak nak.”

Setelah lebih satu jam kami ke hulu ke hilir dapatkan tandatangan baru kali ini kami dapat duduk rehat sekejap menghilangkan penat. Keluhan sahabat tadi aku balas dengan senyuman.

“Farhan, kita buat je apa yang kita termampu. Yang mampu berceramah, ceramah lah. Yang mampu jadi pemimpin berada di barisan hadapan, jadilah pemimpin yang baik. Yang mampu sedekah harta banyak-banyak untuk agama ni, sedekahlah. Untuk kita ni yang sekarang mampu untuk kumpulkan tandatangan ni, kita usahakanlah. Yang penting nanti, kita boleh cakap dekat Allah yang kita pun ada sumbangan pada dakwah ni.

Mungkin bukan esok kita dapat tengok tertegaknya khilafah Islam semula di atas muka bumi ini tapi sekurang-kurangnya kita ada mulakan langkah ke arah itu. Bukankah itu lebih baik daripada kita tak berbuat apa-apa?

Ibarat kita nak bina sebuah bangunan pencakar langit yang tinggi. Bukan semua orang kena jadi arkitek, bukan semua orang perlu jadi jurutera. Kalau tak ada orang yang mahu kendalikan mesin tuang simen, kalau tak ada yang mahu angkatkan besi, hatta kalau tak ada orang nak kemaskan sampah binaan pun, takkan jadi pencakar langit yang berdiri gah tinggi melangit itu. Kesimpulannya, di mana pun kita diposisikan, kita cuba lakukan yang terbaik.

Besar atau kecil hasil daripada usaha kita ini pada pandangan manusia bukanlah jadi persoalan kerana yang penting Allah tahu walau sekecil zarah pun apa yang kita dah usahakan.

Tu, berapa ramai je yang kau dapat tandatangan tu bukan jadi ukuran. Allah tahu kau dah cuba sehabis baik tapi tak direzekikan nak jumpa orang yang senang nak turunkan tandatangan. Malaikat kira semua susah payah kau, jangan risau.”

“Heh dapat ceramah free pula aku hari ni. Dah, dah jom bangun sambung.”

Bingkas Farhan bangun mendahului aku yang rasa haus pula tekak ini setelah berkongsi apa yang terbuku di hati. Farhan, kalaulah kau tahu yang sebenarnya aku bukan nasihatkan kau, tapi yang sebenarnya aku sedang nasihatkan diri sendiri. Sungguh, bukan kau seorang yang rasa begitu tetapi juga aku. Tapi kita tetap perlu saling menasihati, kan?

Ya Allah, pandanglah usaha kami ini. Terimalah amal-amal kami ini sebagai pemberat saham untuk kami minta masuk ke syurga-Mu nanti.

“Wei Haris apa duduk lagi, cepatlah! Ramai orang kat sana tu!”

Aku balas pelawaan Farhan dengan senyuman dan lambaian minta tunggu sambil membersihkan baju daripada kotoran debu kesan duduk di atas batu tadi, “Ok, dah jom!”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *